12 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan Malaysia menyokong tindakan ketenteraan China terhadap Taiwan, sebaliknya menegaskan kerajaan kekal berpegang kepada Dasar Satu China dan penyelesaian secara aman.
Beliau berkata, kenyataannya dalam wawancara bersama Al Jazeera sebelum ini tidak pernah membawa maksud Malaysia bersetuju sekiranya China menggunakan kekuatan ketenteraan terhadap Taiwan seperti didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Apakah saya kata setuju pasal itu China menyerang Taiwan? Saya kata tak, saya kata ‘we support One China Policy’,” katanya ketika menjawab soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Hamzah (PN-Larut) sebelum itu mempersoalkan kenyataan Anwar berhubung isu Taiwan yang didakwa menimbulkan ketegangan diplomatik, selain membangkitkan kebimbangan terhadap kesannya kepada ekonomi negara.
Menjelaskan perkara itu, Anwar berkata, Malaysia turut menekankan kepentingan penyelesaian secara aman dalam isu berkenaan.
“Saya menyatakan, ‘We believe there should be an amicable resolution through peaceful efforts’ (Kami percaya perlu ada penyelesaian secara baik menerusi usaha keamanan).
“Apabila ditanya ‘what if China decides to invade?’ (Bagaimana jika China memutuskan untuk menyerang?), jawapan kita ialah, ‘That’s purely domestic policy, we do not interfere’ (Itu adalah dasar domestik semata-mata, kita tidak campur tangan),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menegaskan hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan Taiwan tidak terjejas susulan kenyataannya berhubung status wilayah itu.
Malah, katanya, jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak mencatatkan RM254.21 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
“Dari Januari hingga September 2026, eksport kita ke Taiwan RM116.58 bilion, manakala import RM137.67 bilion.
“Maknanya eksport kita meningkat 88 peratus, import 24.2 peratus. Jadi jumlah perdagangan itu besar, RM254.21 bilion,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung laporan Taiwan menggantung rundingan pelaburan dengan Malaysia susulan kenyataannya mengenai status Taiwan.
Anwar turut menjelaskan tiada rundingan rasmi pelaburan antara Malaysia dan Taiwan seperti dilaporkan, sebaliknya kerjasama ekonomi dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi.
“Jawatankuasa kerjasama ekonomi yang ditangguhkan hari itu dan sekarang kita sudah merujuk kepada mereka minta mesyuarat itu diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia mahu terus mengekalkan hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang baik dengan Taiwan, namun pendirian kerajaan berhubung Dasar Satu China tidak akan berubah.