12 NOV : Datuk Seri Najib Razak dibenarkan tinggal bersama isteri, anak, menantu dan cucunya sepanjang menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat ditetapkan Lembaga Pengampunan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak dibenarkan tinggal bersama individu lain selain ahli keluarga berkenaan, kecuali mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu.
Beliau berkata, ketetapan itu antara syarat khusus terkandung dalam Perintah Pengampunan Bersyarat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.
“Di dalam keputusan Lembaga Pengampunan itu, berkenaan dengan tempat tinggal, disebut dengan jelas. Tempat tinggal itu adalah nombor 11 di Jalan Langgak Duta, disebut terang.
“Tidak dibenarkan tinggal bersama seseorang yang lain; (Ini dalam syarat Lembaga Pengampunan) tidak dibenarkan tinggal bersama seseorang yang lain selain daripada ahli keluarga kamu, terdiri daripada isteri-isteri, anak-anak, menantu, cucu, kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu.
“Lembaga Pengampunan sebut siapa yang dibenarkan tinggal. Itu orang yang boleh tinggal. Selain daripada itu, kena ada kebenaran bertulis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Najib turut tertakluk kepada sekatan penggunaan telefon dan alat telekomunikasi, selain kawalan pergerakan serta lawatan.
Katanya, bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya dibenarkan menggunakan telefon dan alat telekomunikasi yang didaftarkan Jabatan Penjara bagi tujuan pemantauan serta pengesahan keberadaannya di kediaman.
Najib juga tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau ulasan menerusi media dan platform media sosial, selain dilarang menghadiri majlis keramaian atau terbabit dalam aktiviti politik.
“Tidak dibenarkan juga menyebabkan atau mendedahkan diri dalam mana-mana liputan media ataupun platform media sosial. Tidak boleh buat sebarang kenyataan atau ulasan dalam mana-mana liputan media.
“Tidak boleh melibatkan diri dalam majlis keramaian, jauh sekali daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik. Di sana juga ada kewajipan untuk melalui program pemulihan,” katanya.
Tambah, Jabatan Penjara akan menguruskan pergerakannya bagi menunaikan solat Jumaat.
Beliau berkata, pematuhan semua syarat itu dipantau Jabatan Penjara menerusi pegawai bertugas secara tiga syif, selain pemantauan polis.
Sekiranya berlaku pelanggaran syarat, katanya, Najib boleh dikembalikan segera ke Penjara Kajang atau mana-mana penjara ditentukan Ketua Pengarah Penjara.
“Prinsipnya adalah syarat-syarat diberikan (jika) langgar, segera dibatalkan dan dikembalikan ke penjara,” katanya.
Kelmarin, Najib diarah menjalani baki hukuman penjaranya menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.