20 NOV : Harimau belang yang dipercayai menyerang dan menyebabkan kematian seorang lelaki Orang Asli di Kampung Bawong, Sungai Siput ditembak mati ketika operasi pemantauan, awal pagi semalam.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan haiwan liar itu ditembak kira-kira jam 1.30 pagi pada 19 November selepas bertindak menyerang kakitangan Perhilitan yang menjalankan operasi mengesan kehadirannya susulan kematian Ngah Itam, 65.
“Ketika menjalankan operasi pemantauan, kakitangan Jabatan Perhilitan diserang seekor Harimau Belang. Bagi mempertahankan diri dan mengelakkan ancaman terhadap keselamatan anggota, tembakan telah dilepaskan dari jarak kira-kira 10 meter dan mengenai bahagian bahu kanan serta belakang leher haiwan berkenaan,” menurut kenyataan jabatan itu hari ini.
Harimau berkenaan bagaimanapun sempat melarikan diri sebelum berjaya dijejaki semula anggota Perhilitan dan bangkainya ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi serangan.
Pemeriksaan fizikal awal mendapati taring bawah sebelah kiri haiwan itu telah tiada, manakala taring yang masih ada didapati tumpul.
Turut ditemukan kesan luka lama pada bahagian kanan perutnya.
Bangkai harimau itu kemudian dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai bagi menjalani pemeriksaan bedah siasat untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Ngah Itam yang merupakan lelaki Orang ASLI diserang ketika mencari buluh di kawasan hutan kira-kira 1 kilometer dari perkampungan Orang Asli Bawong dan 100 meter dari sempadan Hutan Simpan Kekal Piah.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 5.55 petang pada hari kejadian dengan kesan gigitan di bahagian tengkuk serta kesan dimakan pada kaki kanan sehingga paras lutut.
Susulan kejadian itu, Perhilitan meningkatkan kawalan dan pemantauan di kawasan berkenaan termasuk menggunakan dron bagi mengesan kehadiran harimau terbabit.
Dalam perkembangan sama, jabatan itu turut mengadakan pertemuan dengan anak mangsa dan sedang menyelaraskan permohonan Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
Penduduk setempat turut dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti bersendirian di kawasan hutan, khususnya pada awal pagi dan lewat petang, selain segera melaporkan sebarang tanda kehadiran harimau kepada pihak Perhilitan.