21 NOV : Dua beradik dikenal pasti sebagai mangsa yang rentung dalam kebakaran di sebuah pejabat pengurusan bersebelahan pusat penyimpanan tong Gas Petroleum Cecair (LPG) di Kampung Teloi Tua, Sik.
Ketua Polis Daerah Sik, Superintenden Shamzury Saman berkata, mangsa ialah Aishah Umairah Abdul Latif, 16 bulan dan abangnya, Mohd Raifal Abdul Latif, 3 tahun.
Beliau berkata, kedua-dua beradik itu tinggal bersama ibu mereka yang berusia 23 tahun dan tidak bekerja.
Katanya, keluarga berkenaan menumpang sementara di kediaman datuk mangsa yang terletak berhampiran lokasi kebakaran.
“Datuk mangsa berusia 42 tahun bekerja sebagai kelindan lori tong gas berada di bilik lain lebih kurang 50 meter dari tempat kejadian,” katanya.
Ibu mangsa selamat dalam kejadian itu.
Shamzury berkata, setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan.
“Pasukan Forensik Polis dan Bomba telah hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.
Dalam kejadian awal pagi tadi, bomba menerima panggilan kecemasan kebakaran jam 6.11 pagi dan menemukan dua beradik malang itu rentung dalam keadaan berpelukan di atas katil.
Kebakaran melibatkan sebuah bangunan berukuran kira-kira 6.1 x 3 meter dengan kemusnahan dianggarkan 90 peratus.