21 NOV : Belum terlambat untuk PAS menyertai Kerajaan Perpaduan bagi meredakan perseteruan politik, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.
Menurutnya, penyertaan parti itu berpotensi mengurangkan perpecahan masyarakat yang sedikit sebanyak dipengaruhi sentimen kaum dan agama sempit.
“Masih belum terlambat untuk mana-mana pihak menyahut seruan perpaduan yang dizahirkan ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Pastinya penyertaan PAS mampu menghentikan perseteruan politik yang sedikit sebanyak terheret sentimen kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Hari Bertemu Komuniti dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Belajar di Pejabat Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas, hari ini, lapor Sinar Harian.
Sementara laporan Malaysia Gazette menyebut, ketika mengulas kemungkinan penyertaan PAS dalam gabungan itu, Muhammad Kamil berkata, perkara yang menjadi penghalang bukanlah prestasi kerajaan, sebaliknya kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, sokongan PAS terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membantu memperkukuh kestabilan politik negara.
“Sebenarnya bila disebut PAS mahu sertai kerajaan dengan syarat DAP keluar, itu maksudnya apa? Maksudnya halangannya ialah DAP bukan prestasi (kerajaan).
“Mungkin cara kita baca itu ialah sebenarnya kenyataan Ustaz Haji Hadi (Awang) itu ialah menunjukkan bahawa kerajaan sebenarnya bagus. Masalah PAS ialah dengan DAP itu sahaja,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, kestabilan politik penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi serta meningkatkan pencapaian negara.
Pada Jumaat, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata beliau hanya akan menjawab tentang kemungkinan parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan jika DAP dikeluarkan daripada gabungan berkenaan.
Tegas Abdul Hadi, perselisihan antara PAS dengan DAP-PH selama ini berpunca daripada perbezaan dasar, khususnya yang berkait dasar dan Perlembagaan yang menyentuh kepentingan serta hak orang Islam.
“Saya sebut tadi, perselisihan kita dengan Pakatan Harapan ini perselisihan dasar. Perselisihan kerjasama yang membabitkan dasar, dasar negara yang membabitkan Perlembagaan.
“Bila DAP dan parti-parti buat kenyataan nak pinda Perlembagaan hak Islam, termasuklah pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya. Ini perkara yang menyentuh politik orang Islam dan dia tak ubah lagi sikap dia itu,” kata Abdul Hadi.