21 NOV : Cadangan membawa 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke Turkiye menerusi program latihan kemahiran masih dalam usaha untuk direalisasikan, namun beberapa perkara perlu diperjelaskan dan diselaraskan dengan pihak berkaitan.
Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Shuhaimi Mohamed berkata, kenyataan terdahulu dikeluarkan kerana kerajaan sememangnya sedang mengusahakan inisiatif berkenaan.
“Kenyataan terdahulu dikeluarkan kerana kita sememangnya sedang mengusahakan inisiatif ini, yang pada akhirnya adalah demi kepentingan negara dan rakyat kita.
“Bagaimanapun, beberapa perkara masih memerlukan penjelasan lanjut dan penyelarasan dengan pihak berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di Thread, hari ini.
Semalam, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan berkata seramai 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia bakal ditempatkan di Türkiye menerusi program latihan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan.
Namun kenyataan yang dimuat naik di Facebook Ahmad Zahid itu kemudiannya diturunkan tanpa penjelasan lanjut.
Dalam pada itu, Shuhaimi berkata, pihaknya akan membuat pengumuman lanjut berkait perkara itu selepas semua proses selesai.
“Kita kekal komited untuk meneruskan cadangan ini dan pengumuman lanjut akan dibuat selepas proses yang diperlukan selesai.
“Insya-Allah, kita akan memaklumkan perkembangan lanjut dalam masa terdekat,” katanya.
*Foto : Facebook KKDW