23 NOV : Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berang apabila menerima aduan mengenai ayam tidak dimasak sempurna yang disediakan kontraktor makanan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka.
Lebih mengecewakan, isu itu berlaku ketika pelajar Tingkatan Lima sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan mereka.
Asyraf Wajdi berkata, beliau menerima aduan daripada pelajar dan ibu bapa menerusi WhatsApp serta mesej peribadi di media sosial, selain gambar yang menunjukkan keadaan makanan disediakan kontraktor berkenaan.
“Saya amat marah, kecewa dan terkilan apabila menerima mesej-mesej aduan daripada anak-anak pelajar dan juga ibu bapa melalui WhatsApp, mesej-mesej peribadi di media sosial berkenaan dengan kualiti makanan yang disediakan oleh kontraktor makanan di Dewan Selera MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin Melaka pada petang tadi.
“Daripada gambar-gambar yang dihantar, ternyata ayam tidak dimasak dengan betul, bahkan tidak keterlaluan saya katakan penyediaan makanannya amat-amat mengecewakan. Ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh saya terima sama sekali kerana ia melibatkan keselamatan dan kesihatan anak-anak pelajar,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.
Susulan aduan itu, beliau mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA mengambil tindakan segera, termasuk memberikan amaran keras kepada kontraktor terbabit.
Beliau berkata, pelajar yang terkesan turut diberikan makanan alternatif yang dimasak oleh pihak kafe koperasi kira-kira sejam selepas arahan dikeluarkan.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi menegaskan penyediaan makanan alternatif itu belum menyelesaikan isu berkenaan kerana aduan mengenai mutu makanan bukan kali pertama diterima.
Menurutnya, terdapat kontraktor yang didapati mengambil sikap sambil lewa apabila tempoh kontrak hanya berbaki sebulan, sekali gus menjejaskan tanggungjawab mereka menyediakan makanan berkualiti.
Beliau turut memberi amaran bahawa syarikat yang gagal menjalankan tanggungjawab boleh disenarai hitam daripada menerima sebarang manfaat MARA pada masa akan datang.
“Saya telah pun memberikan amaran yang keras kepada kontraktor-kontraktor terutamanya mereka yang saya dapati sudah menjadi suatu ‘trend’, apabila kontraknya sudah sampai ke penghujung seringkali mereka mengambil sambil lewa tanggungjawab untuk menyediakan makanan secara berkualiti maka penyedia makanan semacam mengabaikan kualiti makanan yang disediakan.
“Ini tidak boleh diterima sama sekali dan perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab. Ingat ini amaran keras saya, bukan sahaja dalam konteks MRSM Tun Ghafar Baba, tetapi kepada semua MRSM-MRSM lain khususnya kepada kontraktor-kontraktor penyedia makanan.
“Jangan ingat saya ambil secara lewa, banyak syarikat-syarikat yang telah pun saya saman, pihak MARA telah pun menyaman. Kita tidak akan berganjak dalam mempertahankan kebajikan dan kesihatan anak-anak pelajar,” tegasnya.