26 NOV : Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir jam 9 pagi esok.
Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu dijadual berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Perkembangan itu menyusul selepas kemelut politik Negeri Sembilan yang berlarutan mencetuskan ketidaktentuan berhubung kedudukan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim serta pembentukan semula barisan pentadbiran negeri.
Terdahulu, majlis mengangkat sumpah Exco baharu yang didakwa membabitkan tujuh anggota dijadual berlangsung pada 22 November lalu, namun ia tidak menjadi kenyataan.
Kemelut berkenaan tercetus selepas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengumumkan Ismail meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, namun perkara itu dipertikaikan apabila Ismail menegaskan beliau tidak pernah mengemukakan atau memberi kebenaran supaya surat peletakan jawatannya diserahkan kepada pihak istana.
Istana Negeri Sembilan kemudian menjelaskan Ismail perlu membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar.
Dalam perkembangan terbaharu hari ini, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa pemimpin tertinggi parti itu menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban.
Ahmad Zahid selepas pertemuan itu berkata, UMNO menyerahkan kepada pihak istana untuk memuktamadkan keputusan berhubung kemelut berkenaan, termasuk kedudukan Menteri Besar dan pelantikan barisan Exco baharu.
Beliau turut memaklumkan pertemuan itu berlangsung dalam suasana tenang dan keputusan yang dicapai bersama akan diumumkan menerusi kenyataan rasmi istana.
Perkembangan itu sekali gus meletakkan perhatian kepada keputusan Tuanku Muhriz berhubung hala tuju kepimpinan serta pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.