26 NOV : Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir akan menentukan keputusan berhubung kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, hari ini.
Beliau berkata, pertemuan bersama Tuanku Muhriz berlangsung dalam suasana tenang dan pihak BN sudah menyampaikan keputusan yang dicapai berhubung perkembangan politik negeri itu kepada baginda.
Ketika ditanya, perincian keputusan muktamad itu, beliau menekankan perkara berkenaan hanya akan diumumkan pihak istana.
“Kami telah menghadap Tuanku dalam suasana yang tenang dan Tuanku akan membuat keputusan. Kita serahkan kepada pihak istana untuk mengeluarkan kenyataan keputusan yang telah kami capai.
“Itu (keputusan apa) biar istana yang buat kenyataan. Biarlah kenyataan daripada istana itu sebagai memuktamadkan keputusan yang telah kami sama-sama bersetuju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di hadapan Istana Hinggap selepas sesi menghadap berkenaan, petang ini
Mengulas kemungkinan beberapa nama dicadangkan bagi mengisi jawatan Menteri Besar, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu juga diserahkan kepada kebijaksanaan Tuanku Muhriz untuk membuat keputusan.
“Biarlah istana keluarkan, Insya-Allah akan diselesaikan dalam masa terdekat. Kita serahkan kepada istana, biarlah istana buat keputusan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid bersama beberapa pemimpin tertinggi BN tiba di Istana Hinggap bagi menghadap Tuanku Muhriz susulan kemelut politik yang berlarutan di Negeri Sembilan.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tiba di istana kira-kira jam 1.18 petang untuk menghadap Tuanku Muhriz, pertemuan itu merupakan kali ketiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu dengan baginda
Timbul spekulasi, Ismail bakal mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar susulan gagal mendapat sokongan ADUN, namun perkara itu belum dapat disahkan setakat ini..