27 NOV : Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar 96.2 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine menggunakan aset ketenteraan.
Mereka ialah Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34, Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33 dan Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27.
Turut didakwa atas pertuduhan sama ialah tiga orang awam iaitu Tan Sui Seng, 48, Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28 dan Afifah Amdas, 34.
Kesemua mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berkenaan di Pangkalan TUDM Subang pada 17 November lalu.
Sebelum ini, polis mendedahkan berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah rentas sempadan dengan penahanan 13 individu termasuk tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam bagi membantu siasatan sindiket penyeludupan 96.64 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.83 juta yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan, aset dan infrastruktur strategik tentera
Turut dirampas 6.98 kg cecair bahan kimia.
Dadah itu dikesan dalam lima bagasi dan sebuah kotak yang bakal dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang menerusi pemeriksaan rutin pada 17 November lalu.
