28 NOV: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menguasai 29 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas semua calonnya di kawasan berkenaan disahkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, seramai 29 calon disahkan menang tanpa bertanding dan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak bagi penggal baharu.
“SPR turut memaklumkan bahawa seramai 29 calon telah disahkan menang tanpa bertanding dan dipilih sebagai ADUN Sarawak yang ke-13.
“Oleh itu, tiada pertandingan akan diadakan di 29 DUN tersebut. Sehubungan dengan itu, pengundi di DUN berkenaan tidak perlu hadir atau keluar mengundi pada Hari Mengundi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan GPS memperoleh 29 kerusi tanpa perlu melalui proses pengundian, manakala 53 kerusi lagi akan menyaksikan pertandingan membabitkan 168 calon daripada pelbagai parti politik dan calon BEBAS.
Berikut senarai 29 kerusi yang dimenangi calon GPS tanpa bertanding:
- Tanjong Datu – Azizul Annuar Adenan
- Pantai Damai – Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi
- Demak Laut – Datuk Dr Hazland Abang Hipni
- Tupong – Datuk Fazzrudin Abdul Rahman
- Samariang – Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali
- Satok – Datuk Ibrahim Baki
- Asajaya – Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah
- Muara Tuang – Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim
- Sadong Jaya – Aidel Lariwoo
- Simunjan – Yussuf Chik
- Gedong – Tan Sri Abang Johari Openg
- Sebuyau – Datuk Seri Julaihi Narawi
- Lingga – Dayang Noorazah Awang Sohor
- Beting Maro – Awang Nashfarini Awang Sarbini
- Engkilili – Johnichal Rayong Anak Ngipan
- Saribas – Ricky @ Mohammad Razi Sitam
- Layar – Datuk Gerald Rentap Jabu
- Bukit Saban – Datuk Douglas Uggah Embas
- Kuala Rajang – Datuk Talif @ Len Salleh
- Semop – Abdullah Saidol
- Daro – Dr Safiee Ahmad
- Repok – Datuk Seri Huang Tiong Sii
- Dalat – Datuk Seri Fatimah Abdullah
- Tellian – Royston Valentine
- Katibas – Lidam Assan
- Bukit Goram – Jefferson Jamit Unyat
- Bekenu – Nurfatin Syafawani Tahamat
- Lambir – Datuk Dr Ripin Lamat
- Bukit Sari – Datuk Awang Tengah Ali Hasan
SPR berkata, sebanyak 168 kertas penamaan calon diterima dan disahkan layak bertanding selepas proses penamaan calon di 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) seluruh Sarawak ditutup pada jam 10 pagi.
Daripada jumlah itu, GPS mengemukakan 82 calon, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) (29), calon Bebas (22), Parti Bumi Kenyalang (PBK) (17), DAP (14), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (tiga) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) (seorang).
SPR turut memaklumkan tiada kertas penamaan calon ditolak dalam proses berkenaan.
Bagi 53 kerusi yang dipertandingkan, sebanyak 29 kerusi menyaksikan pertandingan dua penjuru, 15 kerusi (tiga penjuru) dan sembilan kerusi (empat penjuru).
Dari segi profil calon, kumpulan berusia 60 tahun dan lebih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 88 orang, diikuti lingkungan 50 hingga 59 tahun (47), 40 hingga 49 tahun (18), 30 hingga 39 tahun (12) dan 18 hingga 29 tahun (tiga).
Calon tertua ialah John Antau Linggang, 78, yang bertanding di DUN N39 Krian mewakili PBDS, manakala calon termuda ialah Irene Wong Lee Ting, 24, mewakili DAP di DUN N54 Pelawan.
Tempoh rasmi berkempen bagi 53 kerusi yang dipertandingkan bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya pada hari penamaan calon dan berakhir pada jam 11.59 malam, 11 Disember ini.
Hari pengundian PRN Sarawak ke-13 ditetapkan pada 12 Disember 2026.