28 NOV : Pengisian hiburan ala konsert dalam majlis istiadat konvokesyen disifatkan tidak wajar dan bercanggah dengan nilai serta adab yang sepatutnya dipelihara dalam upacara pengiktirafan pencapaian akademik.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemilihan lagu, pakaian dan konsep persembahan artis jemputan perlu bersesuaian dengan suasana majlis berkenaan, meskipun ia diadakan ketika waktu rehat.
Beliau berkata, arahan sudah diberikan kepada Ketua Pengarah MARA serta pihak pengurusan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) supaya mengambil tindakan serius berhubung perkara itu.
Malah, beliau mahu penambahbaikan segera dilakukan terhadap kod etika dan adab penganjuran majlis konvokesyen di semua institusi pendidikan di bawah MARA.
“Memang amat tidak wajar dan tidak beradab untuk memasukan hiburan ala konsert dalam Majlis Istiadat Konvokesyen yang merupakan upacara kemuncak pengiktirafan dan pemartabatan ilmu.
“Kalaupun hendak ada nyanyian dan persembahan artis jemputan di waktu sela masa rehat, pemilihan lagu, pakaian, dan orientasi persembahan mestilah bersesuaian dengan Majlis istiadat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan ilmu bukan sekadar proses memperoleh pengetahuan dan menguasai kemahiran, sebaliknya turut merangkumi pembentukan adab, penyemaian nilai serta pembinaan keperibadian insan.
Justeru, katanya, majlis konvokesyen perlu mencerminkan nilai ilmu dan adab yang perlu terus dipelihara.
Beliau turut memaklumkan sudah memanggil Naib Canselor UniKL dan Ketua Pengarah MARA untuk menghadapinya pada Isnin ini bagi membentangkan langkah penambahbaikan penganjuran majlis istiadat konvokesyen universiti serta institusi pendidikan di bawah MARA pada masa depan.
“Terima kasih semua atas pandangan. InsyaAllah Isnin ini saya telah memanggil Naib Chanselor UniKL dan Ketua Pengarah MARA untuk mereka membentangkan tindakan yang bakal mereka ambil untuk menambah-baik penganjuran Majlis-majlis Istiadat Konvokesyen Universiti dan mana-mana Institusi Pendidikan MARA pada masa depan,” katanya.
Asyraf Wajdi turut menjelaskan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung persembahan artis jemputan dalam majlis konvokesyen tidak seharusnya dipetik di luar konteks.
Katanya, baginda tidak menghalang persembahan nyanyian oleh artis jemputan, namun menegaskan aspek adab perlu dijaga termasuk tidak terkinja-kinja atau membelakangi tetamu kehormat.
“Ada yang petik titah Tuanku Sultan Pahang diluar konteks. Baginda tiada halangan untuk persembahan nyanyian daripada artis jemputan dalam majlis konvokesyen, tetapi harus jaga adab (tidak terkinja-kinja, membelakangi tetamu kehormat) dan orientasinya bukan seperti melampaui batas dan norma sebuah majlis pengiktirafan ilmu dan adab seperti konvokesyen,” katanya.