4 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan rundingan akan segera dijalankan untuk memuktamadkan urusan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Beliau berkata rundingan itu akan diadakan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
“Saya telah berkesempatan bercakap dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg semalam mengenai urusan PETRONAS-Petros berdasarkan prinsip yang telah disepakati sebelum ini.
“Sekembalinya Premier dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom kelak, kami akan segera mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkait perkara itu.
Beliau melahirkan keyakinan isu itu dapat diselesaikan dengan berhemah.
“Sementara itu, atas dasar kepentingan bersama, semua pihak harus menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Sarawak mengeluarkan surat tuntutan kepada anak syarikat PETRONAS, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) atas dakwaan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, kerajaan negeri mendakwa sebuah loji kendalian PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) yang menyentuh aktiviti pembinaan, penyelenggaraan serta pengurusan saluran paip dan peralatan gas asli, telah beroperasi tanpa permit sah di bawah undang-undang.