9 MEI: Kerajaan boleh memanfaatkan unsur nadir bumi (REE) sebagai salah satu alat strategik dalam rundingan lanjut dengan Amerika Syarikat (AS) berkait tarif.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata strategi itu perlu bagi memastikan Malaysia tidak menerima kesan besar daripada kenaikan tarif dikenakan.
Jelasnya, REE merupakan bahan penting dalam teknologi digunakan AS terutama melibatkan sektor elektronik, pertahanan dan tenaga hijau.
“Tapi paling penting bagi saya, kita jangan jual REE secara mentah. Kita perlu berunding dengan mereka (AS).
“Kita ada bahan, ada kepakaran dan ada kemampuan untuk memproses sumber alam ini menjadi produk, barulah kita eksport.
“Saya yakin dengan aset strategik yang kita miliki ini, ia boleh menjadi alat rundingan yang berkesan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Backbencehrs Club (BBC) berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Sinar Harian bertajuk ‘Perang Tarif dan Ketidaktentuan: Apa Strategi Kita?’ pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Shahar yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan berkata kerajaan perlu menangani isu alam sekitar dengan baik dalam usaha memperkasa aset REE negara.
“Banyak kajian dan kejayaan di luar negara menunjukkan tiada kesan negatif kepada alam sekitar sekiranya proses tersebut dipatuhi dan dilaksanakan dengan betul.
“Kita ada REE, ada kepakaran, ada pengalaman. Cuma kita mesti duduk semeja dan bincang supaya mereka (AS) hanya melabur dan membuka kilang di negara ini tanpa membawa keluar sumber mineral,” katanya.
Katanya, kedudukan tapak REE yang berpotensi dikesan di negeri diebawah pentadbiran pembangkang bukanlah halangan.
“Proses ini mesti dilaksanakan secara rasional tanpa dipengaruhi perdebatan politik.
“Kalau kita tidak bangunkan REE dengan tenaga tempatan dan kilang di Malaysia, pihak lain akan mendapat manfaat daripada hasil mineral negara kita,” katanya.