Projek hantar ubat guna dron di kawasan luar bandar diperkenal

12 MEI : Kerajaan bakal melaksanakan penghantaran ubat menggunakan dron bakal melibatkan kawasan luar bandar dan pedalaman yang terpilih.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan inisiatif itu hasil kerjasama pihaknya dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rakan strategik seperti Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) serta penyedia teknologi dron tempatan.
Menurut MCMC inisiatif itu merupakan projek rintis bagi membuktikan keberkesanan kaedah penghantaran ubat di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman dari klinik kesihatan ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terpilih..
“…bagi mempercepatkan akses ubat kepada komuniti di kawasan sukar dihubungi termasuk kawasan pulau, pedalaman dan lokasi yang tidak mempunyai keadaan jalan yang baik,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan pada Ahad.
Inisiatif itu diperkenalkan pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Dalam pada itu, menurut MCMC, pelaksanaan fasa pertama penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron itu dijangka akan dilaksanakan pada suku keempat 2025 di dua NADI.
“Seterusnya projek rintis ini akan diperluaskan ke 150 buah NADI pada 2026 dan disempurnakan kepada keseluruhan 392 buah NADI menjelang tahun 2027.
“Secara keseluruhannya terdapat 1,099 NADI di seluruh negara,” kata MCMC.
MCMC berkata melalui kerjasama antara pelbagai agensi, projek ini turut menyokong agenda pengembangan inisiatif kerajaan sedia ada dengan penumpuan kepada akses perkhidmatan kesihatan masa hadapan yang lebih berkualiti dan saksama kepada komuniti luar bandar melalui teknologi, seiring dengan perkembangan dan ketersediaan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI).
*Foto: Pejabat Perdana Menteri Malaysia
*OLEH: HANUM RAJAK