17 MEI : Tarikh melihat anak bulan Zulhijah tahun ini ditetapkan pada 27 Mei bersamaan 29 Zulkaedah 1446H di 29 lokasi seluruh negara.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memaklumkan pengisytiharan tarikh Awal Zulhijah (1 Zulhijah) akan diumumkan pada malam 27 Mei itu melalui siaran radio serta televisyen.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijah ialah pada petang Selasa, 27 Mei 2025 bersamaan 29 Zulkaedah 1446H.
“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Awal Zulhijah adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.
Lokasi yang dikenal pasti untuk melihat anak bulan Zulhijah tahun ini ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Manjong, Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Lokasi di Kedah ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; serta Menara Alor Setar, Alor Setar; manakala di Terengganu pula Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; dan Balai Cerap KUSZA, Setiu.
Di Kelantan, lokasinya ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai; dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Pusat Falak Bintulu.
Lokasi melihat anak bulan di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; manakala di Pahang pula Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Brinchang, Cameron Highlands; dan Menara Kuantan 188.
Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.
Zulhijah merupakan bulan terakhir dalam kalendar Hijrah. Ibadat Haji dilakukan pada bulan ini dan Aidiladha disambut pada setiap 10 Zulhijah.