17 MEI : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kebenaran kepada 71 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada 26 hingga 28 Mei 2025.
Keputusan itu diambil dengan mengambil kira kesesakan trafik yang dijangka berlaku sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di ibu negara.
Sepanjang penganjuran itu, beberapa jalan ditutup serta kawalan keselamatan susulan kehadiran ketua-ketua negara ke Malaysia.
KPM memaklumkan keputusan ini bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid tidak terganggu meski berlaku sekatan pergerakan atau akses ke sekolah-sekolah yang terlibat.
“Kebenaran PdPR ini adalah langkah proaktif bagi mengurangkan sebarang gangguan terhadap sesi pembelajaran, selain menjaga kebajikan dan keselamatan warga sekolah,” kata KPM dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut KPM lagi, ibu bapa, penjaga, murid serta guru dinasihatkan merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan pelaksanaan PdPR sekolah masing-masing.
Dalam pada itu, KPM melahirkan keyakinan pelaksanaan PdPR lancar susulan pengalaman terdahulu semasa pandemik COVID-19 dan bencana alam.
“Kementerian komited untuk memastikan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara sambil mengekalkan kualiti pendidikan meskipun dalam situasi luar jangka seperti ini,” katanya.
Persidangan itu dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).