Singapura puji usaha Anwar gerakkan ASEAN dalam isu Myanmar
25 MEI : Singapura memuji usaha Malaysia yang menggerakkan ASEAN dalam mencari penyelesaian terhadap isu Myanmar.
Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan menyuarakan pujian itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu hantaran di Facebook, malam tadi selepas pertemuan tidak rasmi antara Menteri Luar ASEAN, semalam.
“Saya memuji Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim kerana menggerakkan ASEAN dan mengekalkan saluran komunikasi langsung dengan kedua-dua Majlis Pentadbiran Negara (SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG).
“Menteri Luar Malaysia, (Datuk Seri) Mohamad Hasan dan Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa juga telah melawat Naypyidaw dan mengadakan perbincangan yang membina,” katanya.
Mengulas soal pertemuan tidak rasmi itu, Balaksrishnan berkata Menteri Luar ASEAN mengulang keperluan mendesak untuk melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara.
“Ia merupakan kerangka utama yang sudah dipersetujui di peringkat pemimpin, untuk mencapai keamanan dan pendamaian yang berkekalan di Myanmar.
“ASEAN bersedia untuk membantu. Tetapi penyelesaian mesti akhirnya datang daripada rakyat Myanmar sendiri. Hanya dengan itu kita akan memiliki satu jalan ke hadapan yang berwibawa dan inklusif serta menghormati kehendak rakyat,” katanya.
Katanya, lebih daripada empat tahun selepas rampasan kuasa, situasi di Myanmar kekal kritikal dan penderitaan rakyat di sana diburukkan lagi dengan tragedi gempa bumi yang melanda.”
Gempa bumi pada bulan Mac merupakan peringatan menyakitkan tentang kerapuhan Myanmar. Singapura telah menghantar pasukan dan menyumbang bantuan kemanusiaan, dan kami bersedia untuk berbuat lebih lagi.
“Namun, tindakan kemanusiaan mesti disertai dengan kehendak politik. Tragedi kadangkala boleh membuka pintu kepada perpaduan dan keamanan,” katanya.
Bulan lalu, Anwar berbincang dengan pemimpin NUG Myanmar, Mahn Win Khaing Than secara maya selepas bersemuka Pengerusi SAC Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, sehari sebelumnya.
Menurut Anwar, kedua-dua pihak tidak membantah pembabitan ASEAN dalam isu tersebut.
*Foto : Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin
*OLEH : HANUM RAJAK