2 JUN : Perubahan dasar pendidikan Amerika Syarikat (AS) membuka ruang kepada Malaysia untuk meneroka peluang pendidikan di negara lain.
Ini termasuk meneroka peluang pendidikan baharu di United Kingdom (UK) yang sudah terjalin sekian lama.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini susulan lawatan kerjanya ke UK.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Malaysia perlu melihat perubahan itu dari sudut yang berbeza.
“Kita tahu bahawa Mara (Majlis Amanah Raya) telah membuat keputusan untuk tidak lagi menghantar pelajar-pelajar tajaannya ke AS, saya mempunyai pendekatan apabila kita melihat ada ancaman, sentiasa ada peluang. Kita perlu melihat dari sudut yang berbeza.
“Dalam keadaan yang beginilah saya fikir sistem pendidikan yang ada di UK di mana yang telah kita pelajari akan kita pergunakan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan pramesyuarat bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja empat hari ke UK itu.
Semalam, Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata penghantaran pelajar tajaan Mara ke AS dihentikan mulai tahun ini.
Pentadbiran Donald Trump sebelum ini mengumumkan akan menghentikan pemprosesan visa semua pelajar asing dan mempertimbangkan langkah untuk menyaring pemohon baharu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) berkata, beliau akan memanfaatkan lawatan kerja itu untuk memperluas kerjasama dalam bidang TVET terutama meneroka peluang baharu dalam kecerdasan buatan (AI), IoT, robotik dan tenaga hijau dengan universiti di UK.
“Banyak bidang-bidang teknologi baharu terutamanya dari segi tenaga hijau yang telah dilaksanakan di sini yang kita boleh pelajari.
“Kita harap melalui program latihan kepada pelatih (training the trainers) (ToT) misalnya dapat membuahkan hasil apabila mereka mengikuti kursus-kursus di sini,” katanya.