13 JUN : Gabungan ilmu hafazan al-Quran dengan kemahiran teknikal dan vokasional mampu melahirkan huffaz yang lebih versatil di negara ini.
Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia juga akan membuka ruang yang lebih luas untuk mereka menyumbang secara aktif kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.
“Alhamdulillah, Forum Perdana Ehwal Islam dengan tajuk ‘Membangun Generasi Huffaz Berkemahiran’ yang berlangsung malam tadi sempena sambutan Hari TVET Negara 2025 telah membuka lagi dimensi baharu dalam pemikiran kita tentang masa depan generasi al-Quran ini.
“Saya senada dengan pandangan para panel yang menekankan keperluan menjadikan TVET sebagai fardu kifayah kerana ianya merupakan satu tuntutan masyarakat dalam membangunkan ummah pada masa kini.
“Malah, saya juga bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan bahawa ‘agama tidak pernah memisahkan antara kilang atau bengkel dan masjid’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengerusi Majis TVET Negara itu turut melahirkan rasa bangga atas kehadiran ramai anak muda pada program itu.
“Apa yang lebih membanggakan, saya melihat majoriti yang hadir malam tadi adalah daripada golongan anak muda. Ini membuktikan bahawa minat terhadap pendekatan pendidikan yang seimbang semakin subur dalam kalangan generasi baharu.
“Insya-Allah, kita akan terus memperkasa inisiatif ini agar dapat melahirkan lebih ramai huffaz berkemahiran yang bukan sahaja celik wahyu, tetapi juga cekap mengurus realiti,” katanya.
Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka yang berlangsung selama tiga hari dan akan berakhir hari ini.

*OLEH : HANUM RAJAK