‘Kelompok bebal’ terus kritik tapi kerajaan tetap buat kerja

13 JUN : Kerajaan MADANI terus mencatat kejayaan membanggakan dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan meski berdepan suara-suara negatif daripada ‘kelompok bebal’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu memastian negara makmur yang dinilai melalui kesejahteraan hidup rakyat namun pentadbirannya terus menerus dihujat pelbagai tuduhan termasuk dilabel ‘tidak buat kerja’.
“Kita berdepan dengan suara-suara kencang yang negatif terus bahawa seolah-olah kita ini bercuti dan tidak berbuat apa-apa kerja termasuk (kritik) polis tidak menjalankan tugas dengan profesional.
“Jika ada satu, dua kes daripada ratus ribu, itulah yang dibesarkan seolah-olah gagal semuanya…Ini penyakit kelompok bebal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-90 (MAPT90) Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) Berhad di ibu negara, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan kecekapan PDRM sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, baru-baru ini.
“Saya salute (tabik) PDRM tetapi kadang-kadang rakyat termasuk kelompok bebal ini dia tidak peduli, dia anggap ini biasa kerana kerja polis. Itu tak betul.
“Pasukan keselamatan China anggap ini antara persiapan dan kecekapan polis yang paling mengagumkan.
“Tuanku Sultan Brunei (Sultan Hassanal Bolkiah) sebut kepada saya, berpuluh tahun baginda hadir dalam Sidang Kemuncak ASEAN, ini antara pengurusan kecekapan termasuk keselamatan yang terbaik sepanjang ASEAN,” katanya.
Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Putrajaya mempertimbang untuk menganugerahkan beberapa projek kepada syarikat di bawah kendalian KPDRM Berhad.
Katanya, inisiatif itu sebagai salah satu usaha memperkukuh sokongan kebajikan kepada anggota polis dan menyediakan dana tambahan bagi meningkatkan pulangan kepada ahli koperasi.
