21 JUN : Rayuan Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia yang diputuskan Mahkamah Persekutuan, baru-baru ini tidak melibatkan kepercayaan asas dalam agama Islam, mandat atau doktrin berkaitan dengan akidah Islam.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata rayuan itu melibatkan semakan tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor dalam melaksanakan kuasa tertentu mengikut undang-undang, yang berbeza daripada perkara pokok dan kandungan keputusan dibuat oleh pihak berkenaan.
“Walaupun kes ini melibatkan suatu fatwa, ia tidak mempunyai kaitan dengan pegangan asas dalam agama Islam atau pengurusan terhadap aspek utama agama tersebut,” katanya menerusi penghakiman bertulis disiarkan di laman web Kehakiman.
Menurutnya, semakan terhadap keputusan eksekutif melalui proses kehakiman adalah perkara biasa.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan satu fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap SIS Forum.
Ini kerana fatwa itu hanya terpakai kepada orang perseorangan beragama Islam dan bukannya syarikat atau pertubuhan.
Tengku Maimun berkata cabaran SIS Forum itu tidak mempertikaikan kandungan fatwa sebaliknya mencabar kesan pelaksanaannya terhadap mereka.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua hakim bahawa setiap penghakiman Mahkamah Persekutuan bersifat mengikat kecuali jika terdapat keputusan baharu daripada mahkamah yang sama.
Katanya, kegagalan mematuhi keputusan itu dianggap satu penghinaan terhadap sistem kehakiman.