22 JUN : Sepanjang kerjasama dengan DAP dalam membentuk Kerajaan Perpaduan, tidak pernah sekali pun parti itu mempertikaikan dasar Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu.
Demikian penegasan dibuat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut Asyraf, sehingga kini DAP menghormati syarat kerjasama yang ditetapkan UMNO sebelum membentuk kerjasama itu, tiga tahun lalu.
Katanya, syarat itu diletak susulan UMNO menyedari perjuangan asal DAP.
“Kalau setuju untuk bersama bekerjasama dengan UMNO, Perkara 3 Islam agama Persekutuan mesti dihormati. Perkara 153 kedudukan Melayu dan Bumiputera mesti dihormati. Juga kedudukan Raja-Raja Melayu serta Bahasa Melayu.
” Tapi kalau hendak bekerjasama dengan kita, empat perkara kena hormat dulu. Kalau mereka hormati kita tiada masalah.
“Ini asas sebab kita tahu perjuangan DAP adalah ‘Malaysian Malaysia dan ia bertentangan dengan UMNO.
“Setakat tiga tahun kita bersama dengan kerajaan, tidak ada satu pun dasar mereka persoalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program audio siar BH, Borak Harini : Adakah lagi UMNO selepas PRU16?.
Asyraf tidak menolak usaha mentarbiah ahli partinya masih diteruskan susulan perseteruan UMNO-DAP yang panjang hingga menyebabkan kerjasama itu masih sukar diterima di peringkat akar umbi.
Mengulas lanjut, Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata di bawah Kerajaan Perpaduan peruntukan bagi agenda Islam dan Bumiputera ditingkatkan.
“Bahkan kita dapat meningkatkan lagi agenda Islam, agenda Bumiputera. MARA misalnya kita dapat penambahan bajet sebanyak RM200 juta.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tak pernah cecah peruntukan RM1 bilion tapi hari ini terima melebihi RM1.2 bilion,” katanya.