Damai: Trump beri amaran keras pada Israel

24 JUN : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran keras kepada sekutunya, Israel agar tidak menyerang Iran.
Amaran itu dibuat selepas perjanjian gencatan senjata antara Iran dan Israel dicapai.
“Israel. Jangan gugurkan bom itu. Jika kamu lakukannya, ia adalah pelanggaran besar.
“Bawa pulang juruterbang kamu, sekarang juga!,” kata Trump dalam satu hantaran di akaun media sosialnya, hari ini.
Menurut laporan media antarabangsa, kenyataan Trump itu muncul selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengarahkan tenteranya menyerang Iran atas dakwaan negara itu melanggar gencatan senjata yang diumum Trump, sebelum ini.
Sementara media Israel melaporkan Qatar menjadi pengantara dalam perjanjian damai itu.
Sebelum ini, Trump mengumumkan gencatan senjata yang dijangka bersifat kekal berjaya dicapai antara Iran dan Israel.
Trump kemudiannya memberi amaran kepada kedua-dua negara agar tidak melanggar perjanjian itu.
“Gencatan senjata kini berkuat kuasa. Tolong jangan langgar!,” katanya.
Ketegangan antara Iran dan Israel memuncak pada 13 Jun lalu selepas rejim zionis itu melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear dan ketenteraan Tehran dengan alasan negara itu semakin hampir memiliki senjata nuklear.