27 JUN : Semua pihak diingatkan agar tidak menunggang agama demi kepentingan politik masing-masing.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan perkara itu sambil menekankan agar tiada yang menyebarkan kebencian dalam kalangan masyarakat.
“Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia.
“Oleh itu, janganlah ada pihak yang menunggang agama untuk kepentingan parti politik mereka atau sebarkan fitnah dan kebencian yang akan memecahbelahkan masyarakat,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Sambutan Maal Hijrah 1447H yang berlangsung di Malaysia International Trade And Exhibition (MITEC), hari ini.
Titah baginda, perpaduan rakyat majmuk yang dicapai melalui Perlembagaan Persekutuan di negara ini menggariskan nilai-nilai bersama seperti keadilan, kuasa, tanggungjawab dan muafakat.
“Oleh itu, semua pihak mestilah menghormati Perlembagaan dan tidak menghidupkan api permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keamanan negara.
“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi, tetapi mengislamkan politik demi kepentingan negara.
“Ini bermaksud, urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam bukannya mengikut fahaman sekular atau liberal,” titah baginda.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda sentiasa menegaskan agar urusan agama dan politik tidak dicampur aduk.
“Sejak dari dahulu lagi, saya sentiasa tegaskan bahawa pentas dakwah dan medan pengajaran agama Islam tidak wajar dijadikan tempat untuk agenda parti politik.
“Marilah kita menjaga kesucian agama Islam dan membentuk penyatuan ummah yang harmoni kerana Islam adalah agama persaudaraan dan perdamaian,” titah baginda.
Baginda juga mengajak agar rakyat di negara ini menjadikan Islam sebagai cara hidup yang hakiki melalui amalan, adab dan akhlak yang mulia, bukan sekadar penampilan luaran atau pakaian yang kelihatan Islamik semata-mata.
Dalam titah sama, baginda menyeru anggota pentadbiran dan kepimpinan negara supaya mencontohi sifat Rasulullah SAW yang berhikmah, adil dan tidak menzalimi yang lemah.
“Marilah kita berganding bahu dalam membina sebuah negara yang berjaya, bukan hanya di mata dunia, tetapi juga diberkati Ilahi.
“Ini bermaksud, urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam, bukannya mengikut fahaman sekular atau liberal,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah kepada Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang juga bekas Mufti Johor ke-11, Datuk Dr Nooh Gadot yang ditabalkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan Tahun 1447 H.
Sementara, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dinobat
sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.