KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG & REFORMASI INSTITUSI)
Pada hari ini, saya telah secara rasmi melancarkan Tribunal bagi Antibuli di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, Kuala Lumpur.
Tribunal ini diwujudkan menurut Seksyen 25 Akta Antibuli 2026 [Akta 876] yang bertindak sebagai sebuah agensi khusus untuk menangani, mengadili dan memutuskan kes-kes berkaitan salah laku buli secara komprehensif, pantas dan berkesan.
Pelancaran tribunal ini menandakan satu mercu tanda penting dalam komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk membanteras gejala buli-sama ada buli lisan, fizikal, sosial mahupun siber-yang kian meruncing dan mengancam kesejahteraan masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Majlis bersejarah ini turut dihadiri oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat; Datuk Zamri Misman, Ketua Pengarah BHEUU, JPM; Nurul Husna Awang, Presiden Tribunal bagi Antibuli serta barisan Pegawai Kanan daripada pelbagai kementerian dan agensi.
Pengoperasian tribunal ini berpaksikan pendekatan perundangan restoratif yang pantas, kos efektif, dan berorientasikan perlindungan mangsa (victim-centric).
Bagi menyokong fungsi tribunal ini, Peraturan-Peraturan Antibuli (Tribunal bagi Antibuli) 2026 juga dikuatkuasakan hari ini yang bertujuan untuk memperincikan prosedur dan tatacara tribunal dalam mengendalikan kes dan prosiding buli.
Seterusnya, sukacita dimaklumkan bahawa saya telah melantik sejumlah 56 orang Anggota Tribunal yang terdiri daripada pakar dalam bidang perundangan dan pakar dalam bidang kanak-kanak. Mereka ini akan bertindak sebagai panel prosiding dalam mengendalikan setiap penghakiman secara bebas dan professional.
Bagi memastikan akses keadilan yang saksama, Tribunal bagi Antibuli ini akan mengguna pakai portal awam untuk membolehkan aduan didaftarkan oleh orang ramai. Portal ini boleh diakses melalui laman sesawang berikut: https://tab.bheuu.gov.my/
Melangkah ke hadapan, Tribunal Bagi Antibuli dengan kerjasama erat Akademi Perundangan Negara (APN) dan Pejabat Pesuruhjaya Kanak- Kanak (OCC) akan menganjurkan program advokasi berterusan kepada semua pemegang taruh terutamanya dalam memberi pencerahan mengenai hak-hak mangsa serta bidang kuasa tribunal dalam menawarkan remedi yang lebih pantas, murah, dan efektif berbanding proses mahkamah konvensional.
Pendekatan seluruh Kerajaan dan masyarakat yang diterapkan menjadikan pelaksanaan akta ini bersifat inklusif dan menyeluruh, dengan SUHAKAM dan Parlimen memainkan peranan penting sebagai mekanisme semak dan imbang untuk memastikan akauntabiliti dan ketelusan demi melahirkan #GenerasiTanpa Buli.
AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG & REFORMASI INSTITUSI)