Diaspora Malaysia duta kecil negara di persada antarabangsa

2 JUL : Rakyat Malaysia yang berada di luar negara merupakan duta kecil yang membawa nama negara ke persada antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka digalakkan terus merebut setiap peluang untuk menyumbang kembali kepada tanah air.
“Saya tegaskan bahawa diaspora Malaysia merupakan aset penting sebagai duta kecil yang membawa nama negara di persada antarabangsa.
“Justeru, saya titipkan pesan agar mereka terus merebut setiap peluang dan ruang untuk memperkukuh ilmu, kemahiran dan jaringan demi menyumbang semula kepada tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook selepas Majlis Ramah Mesra bersama Diaspora Malaysia yang menetap di Itali sempena lawatan rasmi ke negara itu atas jemputan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni.
Dalam pertemuan itu juga, Anwar turut berkongsi kepada mereka tentang pelbagai usaha, dasar dan ikhtiar Kerajaan MADANI dalam memperjuangkan kebajikan rakyat serta hala tuju masa depan negara.
Lawatan kali ini, Perdana Menteri ditemani Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau dan delegasi Malaysia selamat tiba di Rom, Republik Itali dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari.
Menurutnya, jemputan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni itu mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Itali berteraskan prinsip serta semangat persahabatan, keyakinan serta saling hormat.
“Malaysia melihat Itali sebagai rakan strategik penting di benua Eropah dan kita komited untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan serta sektor peralihan tenaga.
“Saya yakin lawatan ini akan membuka lembaran baharu yang lebih dinamik, menghasilkan manfaat yang konkrit serta melonjak hubungan Malaysia dan Itali ke tingkat yang cemerlang dan terbaik,” katanya.
Selain itu, kata Anwar, selaku Pengerusi ASEAN kunjungan itu juga akan memperhebat nilai pada sisi hubungan rantau Asia Tenggara dan Eropah dalam landskap geopolitik serta geoekonomi yang terus mencabar.

*OLEH : HANUM RAJAK