2 JUL : Israel dikatakan sudah bersetuju dengan syarat-syarat ditetapkan bagi memuktamadkan perjanjian gencatan senjata selama 60 hari di Gaza.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan.
Menurut Trump, pihaknya akan bekerjasama dengan semua pihak bagi menamatkan perang itu.
“Israel telah bersetuju dengan syarat-syarat penting untuk memuktamadkan gencatan senjata 60 hari dan dalam tempoh itu, kami akan bekerjasama dengan semua pihak untuk menamatkan perang,” katanya.
Menurut Trump, Qatar dan Mesir yang berperanan sebagai perantara dalam rundingan itu akan menyerahkan cadangan akhir kepada kumpulan Palestin, Hamas.
“Saya berharap, demi kebaikan Asia Barat, Hamas menerima perjanjian ini kerana ia tidak akan jadi lebih baik malah akan jadi lebih buruk,” kata Trump.
Sebelum ini, Trump dilapor menjangkakan gencatan senjatan di Gaza dapat dicapai minggu depan.
Trump dijadual bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington, DC minggu depan bagi membincangkan isu Iran dan Gaza.