2 JUL : Malaysia dan Indonesia dijangka membincangkan isu pertikaian wilayah sempadan maritim di Ambalat pada rundingan tahunan, hujung bulan ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan ke Jakarta pada 29 Julai ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia dan Indonesia.
Menurut Fahmi, proses konsultasi tahunan itu kebiasaannya menjadi forum terbaik antara pemimpin kedua-dua negara menyatakan pandangan dan mencari hala tuju dalam sesuatu isu.
“Manakala isu Ambalat bukan satu perkara baharu dan saya jangka ini akan menjadi perkara yang dibincangkan.
“Tapi seperti yang Perdana Menteri ada sebut, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk isu teknikal.
“Jadi Perdana Menteri dan delegasi akan ke Jakarta pada 29 Julai ini untuk hadiri sesi konsultasi serta acara berkaitan sekretariat ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Menurut Fahmi, rundingan itu merupakan susulan daripada pertemuan Anwar dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Jakarta, minggu lalu.
“Jadi kita menjangkakan perbincangan pada hujung Julai nanti adalah sebagai permulaan, bukan pengakhiran dalam isu terbabit (Ambalat).
Menyentuh tentang lawatan rasmi Anwar ke Itali, Perancis dan Brazil, Fahmi berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa hubungan Malaysia dengan negara terlibat.
“Ini adalah usaha untuk memperkukuhkan hubungan dua hala selain mempromosi kerjasama ekonomi di peringkat global.
“Dijangkakan beberapa perbincangan menyentuh aspek pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih erat bakal diumum kelak,” katanya.