ASEAN rantau paling aman di dunia : Anwar

2 JUL : ASEAN merupakan rantau paling aman di dunia dengan ekonominya yang berkembang paling pesat di dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berucap pada Sidang Meja Bulat Kerjasama Ekonomi Malaysia-Itali.
Justeru itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kedudukan Malaysia yang strategik dalam ASEAN wajar diberi perhatian selain kemajuan ekonomi progresif yang dicapai setakat ini.
“Malaysia sebagai pusat kepada ASEAN sangat komited terhadap kerangka ASEAN. Kita amat bertuah walaupun terdapat sedikit isu kecil di sana sini ASEAN merupakan rantau paling aman di dunia dan ekonomi yang berkembang paling pesat di dunia.
“Dasar kita mengenai kepusatan melibatkan keterlibatan dengan semua negara. Kita juga bertuah kerana kedudukan kita agak jauh dari Gaza dan Ukraine.
“Walaupun begitu, kita tetap berpegang kepada prinsip demokrasi dan reformasi dan yang lebih penting, kepada keamanan dan kestabilan dunia,” katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Itali merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Antonio Tajani.
Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis sama, Tajani menyifatkan Asia sebagai salah satu rujukan utama bagi unjuran ekonomi Itali di peringkat global.
Sehubungan itu, katanya, Itali berhasrat untuk membuka peluang perdagangan baharu melalui rangkaian perjanjian perdagangan terutama di rantau Asia Pasifik.
“Asia merupakan salah satu kawasan rujukan utama bagi unjuran ekonomi Itali di peringkat global, baik kerana peranannya yang penting dalam geografi perdagangan antarabangsa mahupun permintaan yang semakin meningkat terhadap barangan dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi dari ekonomi yang sedang berkembang pesat di rantau tersebut,” katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan lebih banyak peluang kerjasama dapat diteroka dengan Malaysia.
