Malaysia tinjau peluang kerjasama dengan syarikat Itali

2 JUL : Malaysia meninjau peluang kerjasama dengan syarikat-syarikat gergasi di Itali meliputi sektor pertahanan dan tenaga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan syarikat pertahanan Itali, Fincantieri dan Leonardo serta syarikat tenaga, ENI.
“Saya mengetuai delegasi Malaysia dalam sesi libat urus secara langsung bersama peneraju industri dan perniagaan utama Republik Itali, meliputi sektor strategik seperti pertahanan dan tenaga.
“Pertemuan bersama Fincantieri dan Leonardo, dua syarikat gergasi pertahanan yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 tempoh hari bagi memperkukuh prospek kerjasama jangka panjang.
“Saya tekankan pentingnya pendekatan antara kerajaan (G2G) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau Asia Tenggara.
“Saya turut mengadakan pertemuan bersama syarikat tenaga Itali, ENI, untuk membincangkan kerjasama bersama PETRONAS di Malaysia serta meneroka peluang pelaburan baharu yang boleh dimanfaatkan secara bersama,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau memanfaatkan sesi itu untuk menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil, progresif dan diyakini.
“Saya juga menyeru agar segala komitmen yang telah dizahirkan disusuli dengan tindakan konkrit agar pelaburan yang dirancang dapat direalisasikan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia untuk lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil bermula semalam.

*OLEH : HANUM RAJAK