2 JUL : Kedutaan Besar Malaysia di Amman memaklumkan keadaan semasa di Jordan adalah tenang, selamat dan stabil.
Dalam satu kenyataan, kedutaan itu berkata sejak pengumuman gencatan senjata pada 24 Jun lalu, tiada lagi siren keselamatan dibunyikan pihak berkuasa Jordan atau insiden kedatangan mahu pun kejatuhan objek asing di Jordan.
“Pada masa ini, operasi harian dan aktiviti masyarakat telah berjalan seperti biasa. Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman juga beroperasi seperti normal bagi urusan pelepasan dan ketibaan pelancong.
“Industri perdagangan dan pelancongan Jordan juga turut berjalan rancak seperti sebelumnya,” kata kedutaan itu.
Justeru itu katanya, tiada halangan untuk rakyat Malaysia berkunjung ke Jordan.
Selain itu katanya, rakyat Malaysia juga bebas untuk bergerak dan melakukan aktiviti harian tanpa sekatan.
Terdahulu, Jordan, Iran dan Iraq menutup ruang udara susulan konflik yang tercetus antara Israel dan Iran.
Iran bertindak balas selepas Israel melancarkan serangan udara di beberapa lokasi di seluruh Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear.
Namun konflik itu tamat pada 24 Jun lalu dengan gencatan sejata kekal selepas 12 hari perang tercetus.