Malaysia kekal prinsip perdagangan bebas dan terbuka

3 JUL : Malaysia kekal komited kepada prinsip perdagangan bebas dan terbuka sebagai teras kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan serta berdaya tahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu ketika Sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali di Rom pada Rabu.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, dalam keadaan landskap global yang mencabar ketika ini, kestabilan dan keamanan antarabangsa merupakan asas penting kepada kemakmuran ekonomi.
“Saya menegaskan bahawa Malaysia kekal komited kepada prinsip perdagangan bebas dan terbuka sebagai teras kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.
“Dalam landskap global yang semakin mencabar, kestabilan dan keamanan antarabangsa merupakan asas penting kepada kemakmuran ekonomi serta peluang sinergi rentas sempadan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, malam tadi.
Beliau dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali, Antonio Tajani mempengerusikan sesi itu yang menghimpunkan lebih 100 syarikat dari kedua-dua negara merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan, agensi serta pertubuhan industri.
Menurut Anwar, sesi itu mencerminkan iltizam bersama untuk memperkukuh hubungan dagang dan membuka ruang pelaburan strategik yang lebih luas antara Malaysia dan Itali.
“Sesi ini turut memperkukuh keyakinan pemain industri Itali terhadap dasar keterbukaan, kecekapan tadbir urus serta daya saing ekonomi Malaysia.
“Penyertaan aktif syarikat-syarikat terkemuka menyerlahkan potensi kerjasama dua hala yang lebih berimpak tinggi, berpaksikan nilai tambah, inovasi dan kepentingan bersama.
“Ia membuka prospek luas dalam sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon, pertahanan, ekonomi digital, aeroangkasa dan industri berteknologi tinggi, bidang utama yang menjadi tonggak kepada agenda reformasi ekonomi negara,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK