3 JUL : Pelaksanaan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bersasar dan tidak menyeluruh mampu mengawal impak berganda terhadap harga barangan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peluasan SST tidak dikenakan terhadap kebanyakan barangan keperluan asas harian.
“Impak berterusan itu boleh dikawal dalam apa yang kita perluaskan dalam SST. Pada Mac tahun lepas, apabila kita lebarkan kita juga ada ‘bubble system’ dan tiada kesan.
“Kalau tidak percaya, lihat angka inflasi. Adakah inflasi di Malaysia melata pada tahap yang sangat tinggi? Tidak.
“Tahun lepas sebanyak 2 peratus, justeru ia terurus dan terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program audio siar Keluar Sekejap.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata rakyat perlu melihat ke mana hasil kutipan cukai itu digunakan kerajaan.
“Kita boleh memilih, siapa kata tindakan memilih itu salah? Kalau kita memilih segmen yang betul dan ia sampai kepada sasaran yang betul, justeru apa yang kita lakukan itu adalah cara yang lebih baik.
“Kefahamannya ialah pelaksanaan kita adalah secara bersasar dan bukan secara menyeluruh yang akan membebankan rakyat. Kita juga perlu melihat apa yang kerajaan lakukan dengan hasil yang diperoleh,” katanya.
Jelas Amir Hamzah, hasil kutipan itu dapat dilihat termasuk dalam kemampuan kerajaan meningkatkan jumlah penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada 700,000 individu kepada 5.4 juta penerima.
“Setiap bulan, mereka mendapat bantuan antara RM50 dan RM200 sebulan untuk membeli barangan asas.
“Itulah sokongan yang boleh diberikan oleh kerajaan apabila ia mempunyai hasil,” katanya.