Malaysia, 40 wakil industri teroka potensi pelaburan, kerjasama

4 JUL : Malaysia dan 40 wakil industri Perancis meneroka potensi pelaburan dan kerjasama strategik dalam sektor berimpak tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menawarkan kedudukan yang strategik sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.
“Saya mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat bersama 40 kepala industri dari Perancis yang beroperasi di Malaysia bagi membincangkan potensi pelaburan dan kerjasama strategik dalam sektor berimpak tinggi di peringkat global.
“Malaysia menawarkan kedudukan yang strategik sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN, disokong oleh kestabilan politik, dasar mesra pelabur dan ekosistem industri yang dinamik,” katanya.
Beliau berkongsi perkara itu dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Anwar, antara syarikat Perancis yang hadir pada sesi itu termasuk Air Liquide, L’Oréal, Axens, Schneider Electric dan Thales yang sudah lama bertapak di Malaysia dan terus menunjukkan komitmen kukuh.
Dalam sesi itu, Anwar menekankan bahawa Malaysia kini menjadi hab utama dalam sektor tenaga bersih, semikonduktor, elektrik dan elektronik serta terus memainkan peranan penting dalam industri minyak dan gas.
“Potensi ini turut diperkukuh dengan pelaksanaan inisiatif fasilitasi pelaburan oleh agensi kerajaan,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan PKS agar dapat menyertai rantaian bekalan global dan menjadi rakan kongsi strategik kepada pelabur asing termasuk melalui pemindahan teknologi, latihan dan pembangunan bakat.
“Saya juga menggalakkan syarikat Perancis meneroka Zon Ekonomi Khas dan taman halal di Malaysia serta menjalin kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu, CCUS, ekonomi digital, pertahanan dan aeroangkasa selaras dengan agenda reformasi ekonomi negara yang inklusif dan mampan,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK