Lawatan rasmi PM perkukuh peranan Malaysia di pentas global

9 JUL : Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi ke Itali, Perancis dan Brazil bermula 1 Julai lalu bukan sahaja memperkukuh hubungan antarabangsa malah menjadi langkah strategik dalam memperluas pengaruh Malaysia di peringkat global.
Penganalisis Geopolitik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata selain manfaat bilateral, lawatan ke ketiga-tiga negara itu selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Katanya, ia turut membuka ruang memperkukuh rundingan ASEAN dan Kesatuan Eropah dengan mengundang pemimpin Eropah menyertai Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
“Apabila Anwar menjemput Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan kedua-duanya bersetuju, ia membuktikan peranan beliau bukan sekadar sebagai Perdana Menteri Malaysia tetapi juga sebagai Pengerusi ASEAN yang komited membuka akses pasaran lebih luas kepada negara serantau lain.

“Langkah ini sejajar dengan rundingan ASEAN bersama Kesatuan Eropah mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA)…ia juga menandakan satu usaha serius dalam mengangkat kedudukan ASEAN sebagai rakan dagang strategik di mata dunia.
“Peluang ini juga memberi ruang kepada Malaysia mengetengahkan isu-isu global seperti perang di Ukraine dan Laut China Selatan dalam perbincangan bersama kuasa-kuasa besar dunia,” katanya kepada BBCPORTAL.
Sejak 1 Julai, Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Itali, Perancis dan Brazil bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta memperluas kerjasama perdagangan dan ekonomi.
Rundingan penting yang memberi manfaat langsung kepada Malaysia, khususnya dalam sektor penerbangan dan teknologi itu berjaya menarik potensi pelaburan sebanyak RM8.13 bilion di Itali dan RM4 bilion di Perancis.
Dalam pada itu, Azmi berkata lawatan ke ketiga-tiga negara itu juga dilihat bersifat berpandangan jauh dalam menangani tekanan perdagangan termasuk tarif tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap produk eksport Malaysia.
“Usaha membuka pasaran baharu seperti di Eropah dan Amerika Selatan adalah tindakan tepat yang proaktif dalam menghadapi isu ini kerana tarif 25 peratus yang dikenakan AS menjadikan produk kita kurang kompetitif.
“Perdana Menteri telah menjalankan tanggungjawabnya dengan membuka pasaran alternatif dan lawatan ke Itali, Perancis serta Brazil menjadi platform terbaik untuk tujuan ini,” katanya.
Mengulas mengenai penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS di Brazil, baru-baru ini Azmi melihat ia sebagai satu langkah penting ke arah kerjasama pelbagai hala serta pengukuhan peranan Malaysia dalam rangkaian kerjasama global.
Katanya, ia juga mencerminkan komitmen negara terhadap pembentukan sistem dunia yang lebih seimbang dan menyeluruh.
“Perjumpaan Anwar dengan Perdana Menteri India,Narendra Damodardas Modi serta tokoh perniagaan Brazil di luar sidang BRICS memperlihatkan diplomasi Malaysia dalam membina rangkaian dan keyakinan.
“Ini sejajar dengan matlamat memperkukuh hubungan dua hala dengan anggota BRICS dan memperluas jaringan kerjasama strategik negara di peringkat global,” katanya.
Terdahulu, Anwar menyifatkan lawatan kali ini berjaya mencapai matlamat utama iaitu memperkukuh hubungan dua hala bukan sahaja dengan Brazil malah dengan negara-negara anggota BRICS yang lain dalam memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat global.
OLEH: AISYAH BADRUL