9 JUL : Tarif 25 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia iaitu kenaikan sebanyak 1 peratus daripada kadar ditetapkan sebelumnya merupakan keputusan dibuat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata setakat ini tiada penjelasan berkait alasan kenaikan tersebut daripada Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).
Namun katanya, angka itu masih belum dimuktamadkan dan rundingan masih berjalan.
“Itu kena tanya USTR dan kita dah tanya dia pun tak ada jawapan kerana ini terpulang kepada Trump. Seperti Jepun juga tanya kenapa tiba-tiba naik satu peratus. Tetapi kita terima dalam konteks perbincangan.
“Satu peratus itu masih rendah berbanding negara seperti Thailand, Indonesia dan sebagainya. Yang penting, ini belum efektif lagi sehingga 1 Ogos dan kita akan teruskan rundingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara MITI, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata Malaysia sebolehnya mahukan kadar itu lebih rendah sehingga 10 peratus.
“Kalau boleh kita nak kurangkan bawah 25 peratus dan lantainya ialah 10 peratus,” katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul turut menegaskan alam rundingan itu, kerajaan tidak akan berkompromi dengan beberapa ‘garis merah’ dan tidak akan sesekali menggadai kedaulatan atau menjejaskan kepentingan negara.
“Kami telah membincangkan mengenai keupayaan kami untuk mengenakan cukai termasuk cukai digital dan itu merupakan ‘garis merah’ bagi kami. Kami merasakan bahawa ia adalah hak kedaulatan kami.
“Isu berkaitan undang-undang termasuk undang-undang jenayah berkaitan e-dagang digital yang baru-baru ini diluluskan Parlimen juga merupakan antara perkara yang dibangkitkan.
“Begitu juga dengan isu perolehan kerajaan, keupayaan kerajaan untuk membuat perolehan mengikut dasar perolehan semasa. Ini adalah isu-isu yang kami anggap penting dan kami pertahankan,” katanya.
Tarif baharu dikenakan AS ke atas Malaysia akan berkuat kuasa 1 Ogos depan.