14 JUL : Sebarang kandungan yang dihasilkan kecerdasan buatan (AI) mungkin akan diwajibkan untuk dilabel sebagai ‘AI generated’ pada masa akan datang.
Ia sejajar dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang dijangka, hujung tahun ini.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, perkara itu akan dipertimbangkan kerajaan bagi menangani penyalahgunaan AI di media sosial.
“Mungkin kita akan pertimbangkan keperluan untuk pelabelan ini melalui Akta Keselamatan Dalam Talian, yang akan berkuat kuasa, Insya-Allah, hujung tahun ini.
“Kami juga melihat bahawa platform-platform digital perlu bersifat proaktif dalam melabelkan kandungan yang dihasilkan oleh AI sebagai AI generated content,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian program Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) YOU & AI:MEET@BANGSAR, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata sebahagian penyedia platftom sudah mula melaksanakan pelabelan itu secara sukarela.
Katanya, inisiatif itu berpotensi untuk diperluas ke peringkat serantau melalui kerjasama dengan negara anggota ASEAN.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata setakat ini tiada garis panduan kawal selia di peringkat global bagi menangani penyebaran video dan gambar palsu yang dihasilkan AI.
Namun katanya, perbincangan berkait perkara tersebut sedang giat dijalankan termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
“Saya baru-baru ini menghadiri AI for Good Summit di Geneva, Switzerland dan memang di peringkat PBB serta ITU persoalan utama adalah siapa yang patut menghasilkan kawal selia?
“Sudah pasti, di peringkat negara, Parlimen dan kementerian-kementerian seperti Kementerian Digital perlu memainkan peranan utama.
“Namun, setiap kementerian mempunyai tanggungjawab untuk menilai dan mengkaji penggunaan AI dalam sektor masing-masing,” katanya.