17 JUL : Pelajar Malaysia yang sedang menuntut di luar negara diseru mengambil peluang untuk menonjolkan diri dan mempelajari budaya tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pemahaman kepada adat dan budaya asing merupakan nilai tambah dalam melahirkan mahasiswa yang holistik dan berwibawa.
“Jangan hanya belajar dalam ruang kuliah, tutorial atau bilik pensyarah sahaja.
“Kita juga perlu memperkenalkan diri kepada masyarakat tempatan dan mempelajari budaya mereka, khususnya budaya Maori yang kaya dengan nilai sejarah dan semangat perjuangan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada lebih 250 pelajar dan rakyat Malaysia pada Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Malaysia di New Zealand.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid membangkitkan rasa kagum terhadap keupayaan masyarakat Maori mengekalkan warisan budaya sambil menguruskan ekonomi komuniti melalui agensi amanah mereka sejak abad ke-19.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemimpin dan komuniti Maori di sini.
“Kita boleh belajar daripada semangat dan kekuatan mereka dalam memperjuangkan hak, dan menyesuaikan ia dengan konteks Malaysia, terutamanya dalam usaha memperkasakan masyarakat Orang Asli,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid turut menekankan keperluan negara terhadap tenaga profesional dalam bidang kritikal seperti kejuruteraan, perundangan dan perakaunan.
Beliau juga menyeru pelajar agar mempertimbangkan untuk kembali menyumbang kepada pembangunan tanah air selepas tamat pengajian.
Beliau sempat menyeru agar tenaga profesional kembali ke Malaysia untuk menabur bakti meski tidak menafikan gaji di Malaysia tidak setinggi New Zealand.
“Saya minta, baliklah ke Malaysia. Terutamanya bagi mereka yang dalam bidang kejuruteraan, perundangan, perakaunan dan sebagainya.
“Saya tahu gaji di Malaysia agak rendah berbanding New Zealand, tetapi kita mesti ingat, ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’,” katanya.
