20 JUL : Beberapa kawasan di Negeri Sembilan dan Selangor mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, pagi ini susulan peningkatan titik panas di Indonesia.
Berdasarkan maklumat laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU di Nilai pada tahap 156 dan Port Dickson 153.
Sementara dua kawasan di Selangor, Johan Setia dan Banting mencatatkan bacaan IPU 155 dan 151.
Selain itu, 58 stesen menunjukkan bacaan IPU sederhana termasuk Putrajaya (99), Temerloh, Pahang (98), Petaling Jaya, Selangor (88), Bukit Rambai, Melaka (85) dan Tasek Ipoh, Perak (79).
Beberapa kawasan lagi mencatat bacaan baik iaitu IPD Serian, Sibu, Samarahan dan Sri Aman di Sarawak serta Tawau dan Kimanis di Sabah.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), dan 300 ke atas (bahaya).
Sebelum ini, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan dilaporkan berkata keadaan berjerebu yang mula dirasai adalah kesan daripada peningkatan titik panas di Sumatra dan Kalimantan, Indonesia.
“Fenomena ini diburukkan lagi dengan keadaan cuaca kering yang sedang melanda bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia, serta tiupan angin barat daya yang membawa asap dari kawasan terbakar di Indonesia ke ruang udara negara,” katanya.
Sehubungan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran secara terbuka memandangkan ia boleh menyebabkan keadaan jerebu bertambah buruk dan pencemaran terhadap alam sekitar.