Pengumuman esok tanda kerajaan prihatin : PM

22 JUL : Pengumuman penghargaan yang akan dibuat esok merupakan tanda keprihatinan Kerajaan MADANI kepada rakyat di negara ini.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran ringkas di Facebook rasminya, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap pengumuman itu kelak akan memberi manfaat kepada rakyat.
“Insya-Allah, esok saya akan umumkan penghargaan yang dijanjikan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan MADANI kepada rakyat Malaysia yang sentiasa teguh bersama dalam setiap langkah reformasi.
“Moga pengumuman ini membawa manfaat buat rakyat terbanyak, dan menjadi cerminan usaha kita bersama untuk membina masa depan yang lebih adil dan sejahtera,” katanya.
Menurut poster yang dikongsi bersama kenyatan itu, pengumuman tersebut akan berlangsung jam 10.30 pagi esok yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen tempatan.
Minggu lalu, Anwar memuat naik satu poster di akaun Facebook rasminya yang mencetus tanda tanya.
Mesej pada poster itu berbunyi : ‘Akan Datang, Suatu Penghargaan Luar Biasa Buat Rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku’.
Laporan media kemudiannya menyebut penghargaan itu dijangka berkaitan dengan kos sara hidup rakyat.
