MCMC Mulakan Rundingan Kerangka Pengawalseliaan Data Komunikasi
KENYATAAN MEDIA
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memulakan Rundingan Awam berkenaan Cadangan Kerangka Pengawalseliaan untuk Penyimpanan, Pemeliharaan dan Pendedahan Data Komunikasi bagi Tujuan Siasatan (Cadangan Kerangka Pengawalseliaan).
Inisiatif ini susulan pindaan terkini kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dengan pengenalan seksyen 252A, 252B dan 268A yang telah berkuat kuasa pada Februari 2025. Peruntukan baharu ini memberikan asas perundangan bagi penyimpanan, pemeliharaan dan pendedahan data komunikasi bagi menyokong siasatan jenayah.
Dalam era di mana ancaman dalam talian seperti penipuan, pemalsuan, buli siber dan gangguan semakin berleluasa dan rumit, adalah amat penting bagi agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mendapatkan akses kepada data yang sahih, boleh dipercayai dan tepat pada masanya bagi menyokong siasatan mereka secara berkesan.
Akses kepada data yang tepat dan boleh dipercayai penting untuk menjaga keselamatan orang ramai dan negara. Cadangan Kerangka Pengawalseliaan ini bertujuan membantu siasatan pihak berkuasa, memberi panduan yang jelas kepada syarikat penyedia perkhidmatan, dan dalam masa yang sama memastikan privasi orang ramai terus dilindungi melalui peraturan dan proses yang telus.
Pada 16 hingga 17 Jun 2025, MCMC telah menganjurkan siri sesi libat urus bersama pihak berkepentingan utama merentasi pelbagai sektor daripada industri, penguatkuasaan undang-undang, masyarakat sivil, dan akademia. Antara pihak yang terlibat dalam sesi libat urus itu termasuklah Majlis Peguam Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), PIKOM, dan lain-lain. MCMC kekal komited untuk meneruskan usaha kolaboratif ini bagi memupuk ekosistem digital yang lebih selamat dan inklusif.
MCMC menggalakkan penyertaan pihak industri, masyarakat sivil dan orang awam dalam proses Rundingan Awam ini. Tempoh Rundingan Awam akan dibuka dari 25 Julai 2025 hingga 8 Ogos 2025. Ini merupakan peluang penting bagi para pemegang taruh memberikan maklum balas dan menyumbang kepada pembangunan satu kerangka pengawalseliaan yang seimbang, inklusif serta sejajar dengan keperluan penguatkuasaan negara dan piawaian perlindungan data global.
Kertas Rundingan Awam Cadangan Kerangka Pengawalseliaan untuk Penyimpanan, Pemeliharaan dan Pendedahan Data Komunikasi boleh didapati di pautan ini:
https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements/public-consultation-paper-on-retention-preservat
KOMUNIKASI KORPORAT MCMC