1 OGOS : Maghribi mengarahkan bantuan kemanusiaan dan perubatan segera dihantar kepada rakyat Gaza di Palestin.
Raja Maghribi, Raja Mohammed VI yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Al-Quds menitahkan perkara itu, lapor Agensi Maghreb Arabe Press (MAP).
Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kerjasama Afrika dan Ekspatriat Maghribi berkata bantuan itu secara keseluruhannya hampir mencecah 180 tan.
Bantuan tersebut melibatkan barangan keperluan asas seperti makanan kering, susu dan keperluan kanak-kanak, selain ubat-ubatan dan peralatan pembedahan untuk golongan yang paling terkesan serta selimut juga khemah yang sesuai.
Menurut laporan itu, bantuan tersebut bakal dihantar melalui laluan khas bagi memastikan penghantaran segera dan terus kepada penerima.