5 OGOS : Malaysia mengenakan syarat kepada Myanmar agar negara itu tidak mencetuskan sebarang serangan terbaharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gencatan senjata juga perlu dicapai di negara itu.
“Syarat kita ialah tidak ada apa-apa serangan baharu. Harus ada gencatan senjata. Ini juga cara menyelamatkan kedudukan masyarakat Rohingya yang tertindas sekian lama.
“Inilah pertama kali dalam beberapa bulan ini, mereka itu agak lega dan tidak mendapati serangan yang terus walaupun ada beberapa insiden tertentu yang dilaporkan.
“Menteri luar dengan beberapa menteri luar Thailand dan mungkin Indonesia akan ke Myanmar, mungkin akhir bulan ini untuk meneruskan usaha dan ikhtiar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai kesediaan kerajaan untuk memainkan peranan sama di Myanmar seperti dilakukan bagi menoktahkan konflik Thailand-Kemboja sebelum ini.
Selain itu, Anwar berkata krisis dan keselamatan Myanmar bakal dibincangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini.
Katanya, Myanmar juga menunjukkan hasrat untuk meneruskan kerjasama dan mengadakan perbincangan dengan Malaysia.
“Saya sendiri sudah pun berjumpa dengan kedua-dua iaitu perdana menteri sekarang dan juga perdana menteri National Unity Government untuk mencapai kesepakatan.
“Pertama adalah gencatan senjata, kedua beri peluang bantuan kemanusiaan dan ketiga, cuba meneruskan dialog supaya serangan terutama yang mengakibatkan beberapa kawasan seperti Rakhine yang Rohingya itu dihentikan.
“Setakat ini, keadaan jauh lebih baik kalau dibandingkan dengan perkembangan sebelumnya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, situasi di Selatan Thailand dan Selatan Filipina ketika ini masih belum memerlukan penyelesaian melalui penggunaan kerangka ASEAN.
Namun kata Anwar, isu tersebut sudah dibawa untuk rundingan ke peringkat tertinggi.
Katanya, Thailand masih belum menyatakan sebarang persetujuan untuk menggunakan kerangka ASEAN sebagai penyelesaian.
“Kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan juga Presiden Filipina bersetuju supaya Malaysia bukan campur tangan tapi mengambil tahu perkembangan supaya membantu menyelesaikan kemelut yang terus meruncing di beberapa insiden di Selatan Thai dan di Selatan Filipina,” katanya.