13 OGOS : Kekecohan yang timbul di persidangan Dewan Rakyat hari ini menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berang.
Beliau menegur sikap ahli-ahli Parlimen baik di blok pembangkang mahu pun kerajaan malah beliau menyifatkan perlakuan itu memalukan.
“Apa benda ni? Wakil rakyat apa macam ni? Very shameful of you all, shameful! Dah tua pun, bukan budak-budak nak bergaduh,” katanya.
Perang mulut itu tercetus selepas perbahasan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkait Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang kemudiannya bertikam lidah apabila Chong Zemin (PH-Kampar) menggunakan Peraturan 36(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ketika mesyuarat itu dipengerusikan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).
Beliau mendakwa Abdul Hadi langsung tidak menyentuh soal RMK13 dalam perbahasannya.
Perkara itu mengundang perang mulut antara ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.
Antaranya Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok), Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut) dan RSN Rayer (Jelutong).
Johari kemudian menggantikan Suhaizan bagi mempengerusikan mesyuarat itu dan membuat teguran terhadap sikap yang ditonjolkan ahli Parlimen di hadapan hadirin termasuk murid sekolah.
“Budak-budak sekolah ada depan, saya dengar dari chamber (ahli Parlimen) maki, guna perkataan-perkataan tak elok, semua tak elok.
“Kita nak negara ini maju, pemimpin kita maju, tak boleh macam ini,” katanya.