14 OGOS : Keputusan mahkamah berkait kes pemecatan Paetongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri Thailand akan diputuskan 29 Ogos ini.
Mahkamah Perlembagaan Thailand memaklumkan tarikh itu dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mahkamah memaklumkan keputusan itu melibatkan cara anak bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra menangani pertikaian diplomatik dengan Kemboja.
Paetongtarn, 38 digantung tugas sejak 1 Julai lalu sehingga keputusan mahkamah.
Beliau dilantik menjadi perdana menteri menggantikan pendahulunya yang disingkir mahkama, kurang setahun lalu.
Paetongtarn didakwa susulan melanggar etika menteri ketika menguruskan pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Namun sepanjang tempoh penggantungan itu, Paetongtarn mempertahankan tindakannya dengan menegaskan bahawa semua keputusan diambil demi kepentingan negara.
Pertikaian tercetus selepas rakaman perbualan telefon yang bocor di mana Paetongtarn memanggil negarawan Kemboja, Hun Sen sebagai ‘pakcik’ ketika membincangkan ketegangan sempadan, sambil merujuk seorang komander tentera Thailand sebagai ‘lawan’ beliau.
Kata-kata itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan penggubal undang-undang konservatif, yang menuduhnya tunduk kepada Kemboja serta melemahkan peranan tentera.