26 OGOS : Hospital Pasir Gudang (HPG) bakal beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pengambilan tenaga kerja untuk HPG akan dibuat secepat mungkin.
Beliau memaklumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.
“Dalam pertemuan itu, baginda ada bertanya berkait hal sumber manusia, peralatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha keras bagi membolehkan HPG beroperasi secara penuh pertengahan tahun depan.
“Kami (KKM) berterima kasih terhadap baginda kerana keprihatinan berhubung status HPG. Namun, kita sudah pun memulakan operasi di beberapa bahagian dan akan meningkatkan kapasiti sama ada pengambilan pakar perubatan, jururawat dan seluruh tenaga kerja yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar, hari ini.
HPG merupakan hospital awam ketiga di Johor Bahru, selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).
Hospital dengan kos keseluruhan RM500 juta itu terletak di Bandar Seri Alam dilengkapi 304 katil akan mula beroperasi secara berperingkat.
