Kestabilan ASEAN berasaskan kerjasama dan solidariti – PM

5 SEPT : Sejak penubuhannya pada tahun 1967, Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) telah membina reputasi sebagai sebuah organisasi yang berteraskan kepercayaan dan dialog, menjadikan rantau itu sinonim dengan keamanan, kestabilan dan dinamik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian sepuluh negara anggota ASEAN – yang bakal bertambah menjadi sebelas dengan kemasukan Timor-Leste yang dijangka pada tahun ini – berasaskan kepada budaya konsensus, komunikasi terbuka dan solidariti.
“Tradisi kerjasama ini telah membolehkan ASEAN menguruskan ketegangan, mencegah konflik dan memupuk kemakmuran merentasi rantau dengan kepelbagaian paling banyak di dunia,” kata beliau dalam sebuah artikel ulasan diterbitkan di laman pendapat global, Project Syndicate.
Beliau berkata semangat solidariti ASEAN baru-baru ini diuji apabila Malaysia selaku Pengerusi semasa, menganjurkan pertemuan antara pemimpin Kemboja dan Thailand, susulan insiden pertempuran ganas di sempadan mereka.
“Melalui proses pendengaran dengan teliti, pengantaraan berprinsip, serta penglibatan konstruktif Amerika Syarikat dan China, pihak terbabit berjaya mencapai gencatan senjata segera. Peristiwa itu bukan sahaja menegaskan nilai berterusan dialog dan saling menghormati, malah turut memperkukuh keyakinan rakyat ASEAN terhadap peranan pertubuhan ini sebagai penjaga keamanan dan kestabilan,” kata beliau.
Dengan persaingan kuasa besar yang semakin memuncak, pertandingan geoekonomi yang kian sengit, serta keyakinan terhadap multilateralisme yang semakin terhakis, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ASEAN sedang berhadapan dengan dunia yang telah berubah.
“Dalam persekitaran sebegini, kepusatan ASEAN bukan sekadar aspirasi diplomatik – ia satu kewujudan yang perlu.
“Ditubuhkan ketika pergolakan Perang Dingin, ASEAN sejak sekian lama menjadi lambang keamanan, berkecuali dan kestabilan. Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Mei, telah mengesahkan semula misi itu, selain mencatatkan detik bersejarah: keputusan sebulat suara untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota kesebelas, sekali gus memperdalam komitmen ASEAN terhadap keterangkuman dan perpaduan,” kata Perdana Menteri.
Anwar menegaskan keperluan untuk mempertahankan autonomi ASEAN – iaitu keupayaan untuk bersuara dengan satu suara, bukannya dibicarakan oleh pihak lain – yang menurutnya menuntut kewaspadaan berterusan.
“Ia menuntut kita teguh pada nilai kesabaran dan diplomasi berterusan, yang sejak sekian lama menjadi asas kepada tertib serantau,” kata beliau.
Dengan populasi sebanyak 660 juta orang, Anwar berkata ASEAN merupakan antara pasaran paling dinamik di dunia. Namun, untuk merealisasikan sepenuhnya potensinya, rantau itu perlu menutup jurang pembangunan dan membina hubungan yang lebih kukuh serta adil, dalam kalangan negara anggota.
Perdana Menteri berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung Oktober ini, akan menggerakkan usaha untuk meruntuhkan halangan tarif dan bukan tarif, selain memperbaharui komitmen rantau ini terhadap perdagangan yang inklusif dan mampan.
“Ketika fahaman perlindungan semakin meningkat dan perang tarif mengancam pertumbuhan global, ASEAN perlu memilih jalan yang berbeza dan membina daya tahan melalui keterbukaan serta reformasi.
“Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), perjanjian perdagangan terbesar dalam sejarah, menjadi tonggak kepada seni bina ekonomi serantau kita. Pelaksanaannya yang berkesan amat penting bagi memastikan peluang nyata untuk rakyat kita serta kemakmuran berterusan untuk ekonomi kita,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Anwar berkata ASEAN mesti memperluas perkongsian globalnya melalui inisiatif penting seperti Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China, serta usaha berterusan untuk memodenkan perjanjian perdagangan dengan China, India dan Korea Selatan.
“Dengan ekonomi digital bakal memacu fasa pertumbuhan seterusnya bagi ASEAN, pemuktamadan Rangka Kerangka Ekonomi Digital ASEAN telah menjadi satu keutamaan mendesak, khususnya di tengah persaingan yang semakin sengit dalam kepimpinan AI dan teknologi transformatif lain,” kata beliau.
Inisiatif itu – yang merangkumi perdagangan, teknologi dan keterhubungan – mempunyai satu tujuan utama: melindungi autonomi ASEAN dalam era penuh ketidakpastian.
“Pada sidang kemuncak Mei lepas, pemimpin ASEAN memberi amaran terhadap langkah perdagangan unilateral, tarif balas, dan peningkatan perpecahan. Tindak balas kita terhadap ancaman global ini mestilah komitmen yang diperbaharui kepada keterbukaan, reformasi, dan sistem perdagangan berasaskan peraturan,” kata Anwar.
Beliau turut memberi amaran bahawa sementara keterbukaan dapat memupuk daya tahan, perpecahan pula meningkatkan kos, menghalang pelaburan, serta mempertingkatkan pendedahan kepada kejutan seperti turun naik mata wang, aliran keluar modal, dan gangguan rantaian bekalan.
“Walaupun globalisasi mempunyai kelemahan, ia juga telah mewujudkan kesaling bergantungan melalui kepentingan bersama, sekali gus membendung unilateralism yang tidak terkawal,” kata beliau.
Mengenai perubahan iklim, Anwar berkata penerapan kelestarian dalam agenda ekonomi ASEAN adalah amat mendesak.
“Pemerkasaan Rangkaian Tenaga ASEAN, menggambarkan tekad kita untuk melabur dalam tenaga bersih, menjana pekerjaan hijau dan mencapai keselamatan tenaga jangka panjang. Pendekatan biasa tidak lagi menjadi pilihan; tindakan berani hari ini, harga bagi sebuah masa depan yang adil dan mampan,” kata beliau.
Dalam dunia yang penuh ketidakpastian, Perdana Menteri berkata nasib ASEAN dikongsi bersama, sambil menggesa perpaduan yang lebih kukuh melalui penghidupan semula kerangka geostrategik seperti Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN), serta memperkukuh platform yang diterajui ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN.
“Platform-platform ini kekal penting untuk dialog, pembinaan kepercayaan, dan diplomasi pencegahan,” kata beliau.
Anwar berkata Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan inisiatif tiga hala baharu bersama GCC serta China, menyelaraskan keperluan Asia Tenggara dengan modal Teluk dan capaian China. Beliau menambah bahawa Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN akan mempertingkatkan tindak balas kolektif terhadap turun naik dan ketidakpastian.
Mengakhiri artikel itu, Anwar berkata walaupun ASEAN tidak dapat menentukan haluan peristiwa global, ia juga tidak boleh tunduk kepada sikap pasif.
“Kita boleh, dan kita mesti, membentuk masa hadapan kita sendiri dengan keberanian, pandangan jauh, dan solidariti. Dengan terus berpegang pada nilai-nilai asas penubuhannya sambil menyesuaikan diri dengan realiti baharu, ASEAN boleh kekal menjadi mercu tanda keamanan, kemakmuran dan kemajuan untuk generasi akan datang,” kata beliau. – Bernama