13 SEPT : Kerajaan Persekutuan secara dasarnya bersetuju untuk menambah bilangan kerusi Dewan Rakyat bagi negeri Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata angka sebenar penambahan itu masih belum ditentukan dan masih perlu diperincikan dari sudut undang-undang.
“Kalau tidak sepenuhnya apa yang dituntut, mungkin tambahan itu akan berlaku.
“Tapi berapa jumlahnya, kita belum dapat putuskan. Ini merupakan keputusan dasar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 2025 pada Jumaat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 berkata perincian yang mendalam perlu dijalankan memandangkan perbezaan pandangan dari sudut perundangan antara Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Menurut Fadillah, Suruhanjaya Pilihan Raya akan menjalankan kajian persempadanan semula bagi menentukan agihan kerusi sebelum menentukan jumlah tambahan diperlukan.
Katanya lagi, isu pindaan perundangan berbeza mengikut bidang kuasa sama ada di peringkat negeri atau Parlimen di mana kerusi Dewan Undangan Negeri tertakluk di bawah kuasa negeri, sementara kerusi Parlimen dalam bidang kuasa Persekutuan.
Selain itu jelasnya lagi, jika melibatkan pindaan biasa di Parlimen, kerajaan hanya memerlukan majoriti mudah, namun ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan dua pertiga majoriti.
