KENYATAAN MEDIA
SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA
Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil meninjau perkembangan projek Fibre-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Pangkalan Udara Butterworth merupakan salah satu kem keutamaan di bawah Kluster 1 (Utara) yang bakal dilengkapi kemudahan Internet berkelajuan tinggi, hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 11 Oktober 2024. Projek ini melibatkan keseluruhan 73 kem tentera di seluruh negara dengan lebih 59,000 unit RKAT.
Semasa tinjauan, YB Menteri telah diberikan taklimat mengenai status projek di tapak serta beberapa perkembangan positif yang telah dicapai di bawah pelaksanaan DUSP Part 1 oleh Stealth Solutions dan DUSP Part 2 oleh TM Technologies Services.
Melalui projek ini, warga ATM berpeluang melanggan pakej Perajurit Broadband pada harga mampu milik iaitu RM49 sebulan bagi 100Mbps, dengan tawaran pengenalan RM39 sebulan untuk enam (6) bulan pertama.
Warga ATM dan keluarga di Pangkalan Udara Butterworth boleh memanfaatkan kemudahan ini untuk meningkatkan kualiti hidup, menyokong pendidikan anak-anak serta memperkukuh kesejahteraan keluarga tentera, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus digital.
MCMC juga akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan piawaian dipatuhi dan memberi manfaat maksimum kepada warga tentera.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA